Thursday, 5 February 2015

MATA BERSINAR: TIPS PENJAGAAN MATA

Pengenalan

Mata merupakan antara daya penarik bagi seorang individu. Memiliki mata yang menawan dan cantik bersinar adalah impian semua orang, terutamanya kaum wanita.
Oleh itu, ramai yang sanggup berhabis wang ringgit demi mencapai tujuan ini. Namun begitu, terdapat juga cara yang mudah dan tidak menelan kos yang tinggi untuk memiliki mata menawan dan cantik bersinar.
Tips yang boleh diamalkan agar mata cantik bersinar:
  • Tidur secukupnya
Sekurang-kurangnya tidur antara 6 hingga 8 jam sehari. Kurang tidur boleh menyebabkan mata kelihatan lesu, tidak bermaya, sembap dan terbentuk lingkaran gelap disekeliling mata (eyebag).
  • Minum air kosong secukupnya.
Sekurang-kurangnya 8 gelas atau 1 liter air sehari. Air berfungsi sebagai pelarut, penyejuk, pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan. Kandungan air yang mencukupi boleh mencegah kulit dari menjadi kering dan cepat berkedut.
  • Bersihkan mata daripada solekan
Pastikan solekan pada mata dibersihkan sebelum tidur. Membersihkan kelopak mata daripada solekan perlu dilakukan dengan teknik yang betul. Ini bagi mengelakkan bahan kimia daripada meresap ke dalam mata.
  • Jaga pemakanan dan elakkan merokok
Amalkan makanan seimbang yang mengandungi sayur-sayuran dan buah-buahan. Sayuran berdaun hijau seperti bayam dan cekor manis mengandungi lutein yang baik untuk mata.
Sayur-sayuran dan buah-buahan berwarna kuning kemerahan seperti lobak, keledek dan tomato mengandungi banyak Vitamin A. Vitamin A dikenali sebagai Retinol membantu membina pigmen bagi penglihatan yang baik pada waktu malam. Vitamin A juga terdapat di dalam makanan seperti hati, keju, kuning telur dan mentega.
Manakala kandungan vitamin C yang terdapat pada sayur-sayuran dan buah-buahan dapat membantu pembentukan kolagen yang mampu menambah keanjalan kulit di sekeliling mata.
  • Lindungi mata dari sinaran matahari
Gunakan cermin mata anti ultraviolet (UV) sewaktu melakukan aktiviti luar. Terdedah kepada sinar UV yang berlebihan akan menyebabkan katarak dan dalam amaun yang tinggi, ia boleh merosakkan kornea, kanta dan selaput retina mata.
Cermin mata hitam yang baik dan berkualiti bukan sahaja mampu menghalang silau, tetapi berupaya untuk menyerap cahaya UV. Seeloknya elakkan daripada membeli cermin mata gelap yang murah di pasar-pasar malam atau tempat yang seumpamanya, kerana kebanyakan cermin mata ini tidak menapis cahaya UV, sekali gus mendedahkan mata pada pancaran sinar UV.
  • Senaman
Bersenam perlu diamalkan bagi menggalakkan kesihatan badan dan mata khususnya. Senaman ringan untuk mata dengan menggerakkan mata ke kanan ke kiri ke atas dan ke bawah dalam lima kitaran untuk satu minit bagi meredakan ketegangan di sekitar otot mata.
Ini amat berkesan sekiranya anda melakukan tugasan sepanjang hari di hadapan komputer. Senaman lain yang boleh diamalkan ialah menutup mata secara perlahan hingga tertutup sepenuhnya sebanyak sepuluh kali dapat mengelak mata terasa kering.
  • Secara tradisional
Petua yang boleh diamalkan ialah dengan meletakkan hirisan timun di atas kelopak mata. Hirisan timun yang sejuk dapat menghilangkan keletihan.Uncang teh yang sudah digunakan juga boleh digunakan bagi menggantikan timun.Selain itu, ketulan ais kecil boleh digunakan bagi menyegarkan mata yang mengantuk.
  • Secara rohaniah.
Menjaga hati dengan menjaga pandangan kita. Hindarilah dari melihat perkara yang tidak elok dan maksiat. Sentiasa membaca ayat suci Al-Quran bagi mereka yang beragama Islam. Ayat Al-Quran adalah sebagai syifa' iaitu penyembuh kepada pelbagai jenis penyakit.
Walaubagimanapun, dalam dunia moden sekarang ini ramai orang Islam yang lupa dengan khasiat dan syifa' yang terkandung dalam ayat suci Al-Quran. Sebagai contoh ayat 22 dari Surah Qaf sesuai untuk menguatkan pandangan dan menghilangkan kerabunan mata.


No comments:

Post a Comment

COPYRIGHT@2015 LAGENDA OPTOMETRIST