Penjagaan Mata Semasa Bekerja Di Pejabat
Di dalam dunia yang serba maju ini, menggunakan komputer dalam melakukan kerja-kerja di pejabat memang tidak dapat dielakkan. Mata pula merupakan deria utama yang terlibat semasa menggunakan komputer. Walaubagaimanapun ramai di antara kita tidak sedar bahawa penggunaan komputer yang berterusan secara tidak langsung boleh mengakibatkan ketegangan pada mata.
Pada masa yang sama akan menyebabkan tubuh badan menjadi penat dan letih terutama di bahagian kepala hinggalah ke aras pinggang. Sering kita dengar, mereka yang bekerja di pejabat mengadu sakit mata, sakit kepala, kabur penglihatan, silau, penglihatan berganda, mata kering serta sakit leher dan bahu semasa bekerja.
Semua gejala tadi menunjukkan kita mungkin mengalami keadaan yang dikenali sebagaiComputer Vision Syndrome (CVS). Sekerap mana individu mengalami gejala-gejala tersebut bergantung kepada tahap keupayaan penglihatan mereka dan masa yang diluangkan semasa menggunakan komputer.
Keadaan ini seterusnya boleh mengakibatkan penurunan produktiviti dan peningkatan kesilapan di tempat kerja.
Terdapat beberapa faktor penting yang perlu dipertimbangkan apabila bekerja menggunakan komputer. Walaupun nampak remeh tetapi hal ini sangat penting untuk mengurangkan serta mencegah Computer Vision Syndrome (CVS).
Faktor-faktor tersebut termasuklah pencahayaan di dalam bilik, keselesaan kerusi yang digunakan, lokasi bahan-bahan rujukan, jarak daripada skrin komputer, silau pada skrin komputer, postur badan ketika menggunakan komputer, rehat yang mencukupi, sudut bahagian kepala apabila menggunakan komputer, kekerapan berkelip serta masalah penglihatan yang sedia ada.
Salah satu atau gabungan kesemua ini boleh menyebabkan ketegangan pada mata jika tidak dipraktikkan dengan cara yang betul. Pastikan pencahayaan di dalam bilik adalah selesa pada mata. Kedudukan komputer haruslah betul untuk mengelakkan silau terutamanya dari lampu overhead atau tingkap.
Penggunaan tirai atau langsir pada tingkap dan menggantikan mentol lampu meja dengan kuasa yang lebih rendah merupakan satu pilihan yang lebih baik. Keletihan mata akibat penggunaan komputer akan bertambah apabila terdapat cahaya yang berlebihan dari sumber luar (matahari) dan lampu di dalam pejabat. Sepatutnya, pencahayaan sekeliling bagi penggunaan komputer perlulah separuh lebih malap dari, cahaya lampu yang biasa digunakan di pejabat.
Jika tidak ada cara untuk mengurangkan silau daripada sumber cahaya, pertimbangkan penggunaaan penapis silau pada skrin komputer. Penapis ini mengurangkan jumlah cahaya yang terpantul daripada skrin komputer. Elakkan warna dinding bilik yang terang, seperti putih. Bagi pemakai cermin mata, pastikan kanta anda mempunyai lapisan anti-silau untuk meminimumkan kesan silau pada mata.
Bagi sesetengah kes, individu yang tidak menggunakan cermin mata mungkin memerlukan preskripsi cermin semasa bekerja. Kanta yang digunakan itu haruslah mempunyai rekabentuk, kuasa ataupun lapisan anti-silau untuk mengoptimumkan penglihatan dan keselesaan semasa melihat komputer. Dapatkan informasi daripada Optometris yang berhampiran tentang kanta khas ini.
Gunakan kerusi yang selesa serta mengikut bentuk badan. Jika kerusi anda mempunyai“arm rest”, perlulah diselaraskan agar dapat memberi sokongan pada lengan ketika sedang menaip. Kerusi yang selesa dan mempunyai sokongan untuk leher dan bahagian belakang dapat membantu mengelakkan ketegangan leher dan bahu semasa menggunakan komputer di pejabat.
Bahan-bahan rujukan pula perlu ditempatkan di atas papan kekunci dan di bawah monitor. Jika cara ini tidak boleh dilakukan, pemegang dokumen boleh digunakan di sebelah monitor. Letakkan bahan rujukan searas dan sedekat yang mungkin dengan skrin komputer. Matlamatnya adalah supaya kita tidak perlu menggerakkan kepala dan mata ke kiri atau ke kanan, ke depan atau ke belakang untuk melihat dokumen dan skrin. Hal ini dapat mengelakkan keletihan pada otot-otot mata kita.
Laraskan kawasan kerja dan komputer sesuai dengan keselesaan kita. Pastikan postur badan adalah betul semasa duduk. Letakkan skrin komputer anda 16 hingga 30 inci daripada mata anda. Skrin komputer haruslah berada di bawah sedikit dari paras mata.
Kedudukan skrin komputer penting supaya kepala anda berada dalam kedudukan yang natural dan selesa semasa bekerja. Secara optimum, skrin komputer seharusnya 15 hingga 20 darjah di bawah paras mata. Berada terlalu dekat dengan monitor/skrin memang sedikit membahayakan mata kita.
Rajah 1 : Kedudukan mata yang betul semasa bekerja |
Untuk mengelakkan ketidakselesaan pada mata, rehatkan mata kita selepas menggunakan komputer untuk jangka masa yang lama. Setelah otot-otot mata memfokus lama pada skrin komputer, rehatkanlah otot-otot terbabit dengan cuba memandang objek jauh seketika setiap 20 minit.
Satu latihan yang dapat dilakukan adalah dengan melihat objek jauh selama 10-15 saat dan kemudian kembali melihat objek dekat selama 10-15 saat juga. Ulangi selama 4-5 kali. Latihan ini penting supaya otot-otot mata tidak kejang akibat penggunaan komputer yang berlebihan.
Selain itu, buat kerja-kerja alternatif lain yang tidak memerlukan mata kita melihat dekat. Contohnya, seperti membuat panggilan telefon, membuat salinan fotokopi, berunding dengan rakan sekerja dan sebagainya. Disamping itu, semasa berehat, lakukan regangan bahu, leher serta belakang badan untuk melegakan otot-otot yang terlibat.
Untuk mengelakkan mata kering ketika menggunakan komputer, kita haruslah kerap berkelip. Berkelip dengan kerap akan memastikan mata kita sentiasa berkeadaan lembap. Antara latihan yang boleh dilakukan adalah dengan mengelipkan mata secara perlahan-lahan (seperti bersedia untuk tidur) sehingga menutup mata seluruhnya setiap 20 minit penggunaan komputer. Ulang sebanyak 10 kali dan seterusnya sambung kerja semula.
Keadaan mata kering boleh menjadi lebih teruk apabila berada dalam bilik atau pejabat yang berhawa dingin. Pengguna komputer juga boleh menggunakan ‘artificial tears’ jika mata terasa kering dan berpasir untuk melembapkan mata kita.
Darjah keterangan, kontras serta warna latar belakang pada komputer perlulah sesuai dengan tahap penglihatan kita. Saiz font yang digunakan hendaklah tidak terlalu kecil. Objek atau tulisan perlu berlainan kontras untuk mengelakkan ketidakselesaan pada mata. Sebagai contoh, tulisan hitam perlulah dipadankan dengan latar belakang berwarna terang. Elakkan warna latar belakang yang gelap, ataupun pelbagai.
Pemeriksaan mata secara teliti pada setiap tahun untuk pengguna komputer adalah satu kemestian. Pemeriksaan ini adalah penting untuk mencegah Computer Vision Syndrome (CVS) dan sekaligus mengesan masalah rabun, mata kering dan masalah kesihatan mata yang lain. Pastikan cermin mata anda memenuhi permintaan kerja anda.
Beritahu Optometris mengenai bidang tugas anda dan minta nasihat daripada mereka berkenaan kanta khas yang boleh dipakai semasa menggunakan komputer. Pemeriksaan mata yang kerap dan amalan mengendalikan komputer yang betul boleh membantu untuk mencegah atau mengurangkan gejala-gejala yang dikaitkan dengan Computer Vision Syndrom.
Kebanyakan gejala visual yang dialami oleh pengguna komputer hanya bersifat sementara dan akan berkurang selepas berhenti menggunakan komputer. Walau bagaimanapun, terdapat individu yang mungkin mengalami masalah penglihatan yang berterusan, walaupun selepas berhenti menggunakan komputer.
Antara yang sering terjadi adalah kabur penglihatan jauh atau dekat dan apabila menukar fokus dari jauh ke dekat atau sebaliknya. Jika tiada tindakan diambil untuk menangani punca masalah ini, gejala-gejala ini akan terus berulang dan mungkin akan menjadi lebih teruk ketika penggunaan komputer pada masa akan datang.
Selain daripada itu, bersihkan skrin komputer anda dengan kerap. Habuk dan cap jari juga boleh mengurangkan kejelasan. Amalan diet yang seimbang juga dapat membantu. Makanan yang kaya dengan “lutien” seperti telur, lobak merah dan avokado adalah baik untuk mata kita. Banyakkan minum air kosong terutama yang mengamalkan minuman kopi kerana kafein boleh menyebabkan mata kering.
Segala cadangan diharap dapat membantu mengurangkan ketegangan mata agar kita dapat bekerja dengan lebih efisien tanpa menjejaskan produktiviti kerja kita.
Rujukan
- Protecting Your Eyes at Work, Computer Vision Syndrome, American Optometric Association
No comments:
Post a Comment