Pengenalan
Mata kering adalah satu keadaan di mana terdapat kekurangan air mata untuk melembabkan dan menyuburkan mata. Air mata adalah perlu untuk mengekalkan kesihatan mata dan untuk memberi penglihatan yang jelas. Mereka yang mengalami mata kering adalah disebabkan oleh pengeluaran air mata yang kurang ataupun mempunyai air mata yang tidak berkualiti. Mata kering adalah satu masalah biasa yang kronik dialami terutamanya di kalangan orang dewasa yang lebih tua. Masalah ini boleh mengakibatkan gangguan pada permukaan mata dan seterusnya menyebabkan gejala yang kurang selesa serta memberi kesan terhadap kualiti hidup.
Dengan setiap kerdipan kelopak mata, air mata akan tersebar ke seluruh permukaan mata yang dikenali sebagai kornea.
Fungsi air mata
- Membantu dalam memberikan pelinciran pada permukaan mata
- Mengurangkan risiko jangkitan mata,
- Mengeluarkan bendasing di mata dan
- Menjaga permukaan mata agar licin serta rata.
Lebihan air mata akan mengalir ke dalam saluran air mata yang kecil terletak di sudut bahagian dalam kelopak mata dan seterusnya mengalir ke dalam hidung dan tekak.
Mata kering terjadi akibat dari ketidakseimbangan antara penghasilan dan pengaliran air mata keluar dari bahagian mata. Air mata dihasilkan oleh kelenjar air mata (lacrimal gland) dan beberapa kelenjar aksesori yang terdapat di sekitar kelopak mata.
Penghasilan air mata cenderung berkurangan disebabkan:
- Peningkatan usia,
- Masalah kesihatan (seperti artritis Rheumatoid),
- Akibat kesan sampingan ubat-ubatan tertentu, dan
- Keadaan persekitaran seperti angin dan iklim yang kering juga boleh menjejaskan jumlah air mata dengan peningkatan penyejatan air mata.
Apabila jumlah pengeluaran air mata berkurangan atau menyejat (evaporate) terlalu cepat dari mata, tanda-tanda mata kering boleh dirasai.
Air mata adalah terdiri daripada tiga lapisan:
- Lapisan minyak
- Berfungsi untuk menghalang penyejatan lapisan air - Lapisan air
- Membentuk sebahagian besar komponen air mata bagi membekalkan oksigen dan nutrisi - Lapisan lendir (mukus)
- Berfungsi untuk penyebaran air mata yang sekata atas permukaan bola mata
Sekiranya air mata menyejat terlalu cepat atau tidak merebak sekata di atas permukaan bola mata, terutama bahagian kornea disebabkan kekurangan mana-mana lapisan air mata, gejala-gejala mata kering boleh terjadi.
Gambarajah menunjukkan lapisan air mata |
Penyebab Mata Kering
- Umur
Mata kering adalah sebahagian daripada proses penuaan semula jadi. Majoriti mereka yang berumur 65 ke atas mungkin mengalami beberapa gejala mata kering. - Jantina
Wanita adalah lebih cenderung mengalami mata kering akibat perubahan hormon yang disebabkan oleh kehamilan, penggunaan pil kontraseptif dan menopaus. - Ubat
Ubat-ubat tertentu, termasuk antihistamin, ‘decongestants’, ubat-ubatan darah tinggi dan antidepresan, boleh mengurangkan jumlah airmata yang dihasilkan. - Status kesihatan
Pesakit yang mengalami artritis reumatoid, kencing manis dan masalah kelenjar Tiroid akan lebih cenderung mempunyai gejala-gejala mata kering. - Masalah struktur dengan kelopak mata
Radang kelopak mata (blepharitis), radang permukaan mata, dan kecacatan kelopak mata (seperti entropion dan ectropion) boleh menyebabkan terjadinya mata kering. - Keadaan persekitaran
Pendedahan kepada asap, angin dan iklim yang kering boleh meningkatkan penyejatan airmata yang mengakibatkan gejala-gejala mata kering. Kegagalan berkelip secara tetap, seperti apabila merenung skrin komputer untuk tempoh yang lama, juga boleh menyumbang kepada kekeringan mata. - Faktor-faktor lain
Tempoh yang lama bagi penggunaan kanta lekap boleh menjadi faktor penyumbang kepada terjadinya mata kering. Pembedahan mata refraktif, seperti LASIK juga boleh menyebabkan pengeluaran airmata berkurangan dan seterusnya menyebabkan mata kering.
Gejala-gejala mata kering
Apabila airmata tidak mencukupi untuk melincirkan permukaan bola mata, seseorang mungkin mengalami:
- Mata sakit atau tidak selesa
- Sensitif terhadap cahaya
- Terasa berpasir
- Terasa seperti terdapat bendasing di dalam mata
- Mata gatal
- Mata merah
- Kabur penglihatan
- Mukus bertali di dalam mata
- Mata berair
No comments:
Post a Comment